SRAM G2 ULTIMATE. RINGAN & BERPRESTASI!

Anda perlukan brek kaliper 4 piston yang setanding SRAM Code atau Guide namun mementingkan berat keseluruhan basikal?

Jawapannya ada pada produk trek terbaru SRAM iaitu SRAM G2. Hanya dua variasi dikeluarkan; Ultimate dan RSC. Ya, tidak perlu terlalu rumit untuk memilih seperti variasi-variasi untuk model Guide. Perbezaan yang ketara antara G2 Ultimate dan G2 RSC hanyalah pada tuilnya; Ultimate menggunakan tuil karbon yang bergerak menggunakan galas tertutup berbanding RSC yang menggunakan tuil aloi dengan pangsi sesendal; sekali gus lebih 13gram ringan berbanding berat keseluruhan 242gram RSC. Untuk opsyen pelarasan, SRAM masih mengekalkan pelaras capaian tanpa alatan dan pelaras hubungan brek pad tanpa alatan.

Ergonomik pada gaya juga penggunaan

Antara ciri-ciri terkini yang diketengahkan oleh SRAM untuk model G2 ialah rekaan piston dan kaliper. Menurut SRAM, G2 berada di kelompok teratas untuk rangkaian brek 4 piston keluaran mereka. Dengan rekaan baharu yang tampak lebih garang dan ‘gagah’, SRAM berjaya meningkatkan prestasi G2 dengan mengubah reka bentuk kaliper dengan memberi kepercayaan kepada ketahanan piston ‘phelonic’, menggantikan aluminium yang biasa digunakan sebelum ini. Cara ini membolehkan SRAM untuk mengurangkan berat pada bahagian poket pad kaliper, selain meningkatkan ketahanan kaliper dan keselesaan tuil brek. Meskipun saiz piston tidak berubah seperti Guide iaitu pada ukuran 14/15mm, SRAM menyatakan yang G2 mempunyai prestasi membrek pada kadar 7 peratus lebih kuasa berbanding Guide Ultimate.

Perbezaan pada material tuil; karbon dan aloi

Bagi anda yang tidak mengetahui apa itu ‘phelonic’, ia adalah campuran resin khas bagi menggantikan besi atau aluminium. Kelebihan bahan ini ialah kemampuannya untuk menyingkirkan haba dengan lebih pantas, justeru meningkatkan kecekapan brek. Untuk model terbaru ini, SRAM turut menghasilkan pad brek rekaan terkini dengan 3 pilihan bahan iaitu, organik, metalik dan ‘organik berkuasa’ yang memberikan cengkaman dan gigitan yang lebih baik.

3 pilihan pad brek; organik, metalik & ‘organik berkuasa’

Jika anda pengguna brek SRAM atau pernah menggunakannya, SRAM mempunyai modulasi brek yang baik dan setanding jenama-jenama lain, namun tidak memberikan cengkaman dan gigitan awal yang sebaik brek 4 piston lain seperti Shimano. Meskipun dengan peningkatan kuasa sebanyak 7 peratus daripada Guide Ultimate, kuasa G2 masih ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan SRAM Code atau Shimano Saint, namun untuk disiplin ‘all mountain’, ‘trail’ atau ‘enduro’, ia sangat mencukupi. Jika digunakan di Bukit Kiara mahupun Gunung Jerai, kuasanya masih mampu memberhentikan anda pada jarak yang tepat dan mengelakkan daripada tergelungsur ke bawah tanpa kawalan.

Fleksibel untuk apa jua disiplin; all-mountain trail mahupun enduro

Jika kuasa dan tanpa berat berlebihan adalah sesuatu yang anda inginkan, selain tidak terlalu ‘overkill’ untuk mengganas di trail-trail pilihan di Malaysia, SRAM G2 Ultimate adalah pilihan terbaik untuk anda.

POPULAR

Scroll to Top