HINDARI 5 SAJIAN INI SEBELUM BERKAYUH

Untuk mendapatkan sesi kayuhan yang optimum, pengambilan nutrisi yang betul sangat penting sebelum berkayuh. Namun, berapa ramaikah rider yang mengambil jenis-jenis sajian yang bersesuaian? Umum mengetahui bahawa makanan berkarbohidrat adalah sumber tenaga yang baik, namun tahukah anda tentang 5 sajian yang perlu dihindari? Jom baca bersama. 

EMPING JAGUNG
Bijirin sarapan seperti emping jagung nampak seperti mudah disediakan, namun ia adalah makanan yang telah diproses dan berupaya meninggikan indeks glisemik (indeks glisemik atau GI mengukur kepantasan makanan yang mengandungi karbohidrat dalam meningkatkan paras gula dalam darah). Kesannya, makanan yang tinggi GI akan menjejaskan keupayaan badan untuk membakar lemak. Sebaik-baiknya, ambil bijirin sarapan jenis gandum penuh.

Mudah tapi kurang berkhasiat

SALAD
Vitamin dalam salad bagus untuk kesihatan badan, namun tidak menyumbang kepada penghasilan tenaga kerana tidak mengandungi karbohidrat untuk kegunaan aktiviti berintensiti tinggi seperti kayuhan basikal. Malah, serat dalam sayuran akan mengambil masa lebih lama untuk dihadam, sekali gus mungkin membuatkan perut kurang selesa ketika berkayuh.

Penuh khasiat tidak memberikan tenaga

MINUMAN BIKARBONAT
Kandungan tinggi gula dalam minuman ringan mungkin beri tenaga, namun bukan untuk jangka lama selain buih bikarbonat yang berisiko membuat perut kembung. Tanpa kandungan lain yang bermanfaat seperti elektrolit, pengambilan minuman berkarbonat tidak patut diamalkan. Sebagai gantian, ambil pisang untuk sumber tenaga yang lebih sihat.

Gula berlebihan dalam minuman berkarbonat

MAKANAN BERMINYAK & PEDAS
Sajian seperti mee kari atau kentang goreng mungkin mengandungi karbohidrat, tetapi kuantiti minyak dan cili berlebihan di dalamnya boleh melambatkan proses penghadaman selain menjadi punca pedih hulu hati. Elakkan terutama sebelum kayuhan.

Berminyak!

PASTA CARBONARA
Pasta adalah sumber karbohidrat yang bagus, namun tahukah anda jika ia dihidangkan bersama sos karbonara, ia menjadi sajian yang sangat berlemak, justeru melambatkan penghadaman karbohidrat daripada pasta untuk sumber tenaga. Ia juga akan memberi ketidakselesaan pada perut sewaktu berkayuh.

POPULAR

Scroll to Top