BAGAIMANA TEKNOLOGI MIPS LINDUNGI OTAK ANDA

Teknologi MIPS pada topi keledar adalah sesuatu yang kita tidak pernah dengar 10 tahun lepas, namun kebelakangan ini, semakin ramai jenama mengadaptasinya pada produk mereka. Ini termasuklah jenama gah dunia seperti Troy Lee Designs, Alpinestars, Giro, 100%, Fox dan lain-lain lagi.

Ramai yang skeptikal terhadap keberkesanan MIPS, namun berbaloikah penciptanya menghabiskan hampir 20 tahun tempoh penyelidikan dengan sia-sia demi membangunkan teknologi ini? Jawapannya tentu sekali tidak. Teknologi MIPS kini mendapat pengiktirafan global kerana menyumbang kepada revolusi baharu ciri keselamatan sesebuah topi keledar.

Apa itu MIPS?
MIPS bermaksud Sistem Perlindungan Impak Multi-Arah (Multi-Directional Impact Protection System), ciri khas yang membolehkan kepala bergerak dalam helmet apabila berlaku impak. Ini bergantung kepada situasi bagaimana kepala terhentak atas jalan atau objek lain ketika kemalangan terjadi.

MIPS mengaplikasikan teknologi ‘slip plane’ atau satah gelincir yang membolehkan kepala bergerak antara 10-15mm dalam apa jua arah dari kesan impak, sekaligus membantu mengurangkan daya hentaman pada otak hingga 40 peratus.

Teknologi ‘slip plane’ MIPS

Kenapa saya perlu MIPS?
Statistik kecederaan menunjukkan bahawa apabila anda jatuh dan menghentam kepala, kadar jatuhan bersudut adalah lebih tinggi berbanding jatuhan secara linear atau selari.

Jatuhan bersudut mewujudkan ‘rotational movement’ atau gerakan putaran dan kajian sains telah membuktikan bahawa otak manusia sangat sensitif terhadap daya putaran. Ketika impak jatuhan bersudut terjadii, daya hentaman yang terhasil boleh dipindahkan ke otak, sekali gus menyebabkan kecederaan teruk pada otak. Sistem MIPS boleh mengurangkan gerakan putaran dan mengurangkan risiko kecederaan pada otak.

Mengapa gerakan putaran berbahaya?
Gerakan putaran terjadi apabila kepala menghentam jatuhan secara bersudut. Impak yang terjadi menghasilkan daya tekanan terhadap tisu otak lalu menyebabkan kecederaan teruk pada otak. Punca kepada keadaan tidak sedarkan diri (konkusi) mahupun kecederaan otak lazimnya disebabkan oleh gerakan putaran.

Bagaimana MIPS atasi masalah ini?
Sistem MIPS membolehkan kepala bergerak pada kadar 10 hingga 15 milimeter di dalam topi keledar yang bertujuan mengurangkan kesan pergerakan putaran ketika impak terjadi.Apabila daya putaran dialihkan ke pelbagai arah, risiko hentaman pada tisu otak berkurangan. Menerusi 20,000 ujian dalaman dan ujian pihak ketiga, MIPS didapati boleh meningkatkan kadar perlindungan terhadap kecederaan otak yang berlaku dalam situasi kemalangan tertentu.

Simulasi menunjukkan daya hentaman pada tisu otak berkurangan dengan penggunaan MIPS

MIPS kini diadaptasi oleh lebih 78 buah jenama topi keledar global dalam pelbagai disiplin tunggangan dan pemanduan. Jadi, pastikan topi keledar baharu anda yang seterusnya dilengkapi teknologi MIPS!

SOKONGLAH PENERBITAN TEMPATAN |
KLIK IKON FB DI ATAS UNTUK KONGSI ARTIKEL INI

POPULAR

Scroll to Top